PM jamin nelayan, pekebun dan pemilik bot dapat manfaat BUDI95

Oleh: Tyah Helmi

PETALING JAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan kerajaan akan meneliti dan mempertimbangkan rayuan golongan nelayan, pekebun, pemilik bot dan perahu yang mengggunakan minyak petrol RON95 turut mendapat manfaat daripada program BUDI MADANI RON95 (BUDI95).

Anwar dalam ucapan beliau pada Jumaat berkata, pertimbangan itu dilaksanakan kerana pihaknya mendapati terdapat segelintir kes seperti di Sabah, Sarawak dan Kelantan, yang mana kebanyakan nelayan kecil atau pemilik perahu menggunakan petrol RON95 walaupun tiada lesen memandu di bawah nama mereka.

“Sebagai contoh, tetapi ada nelayan yang membawa perahu atau bot, sama ada di Sarawak, Sabah, Kelantan atau di mana-mana, dan menggunakan RON95.

“Kerana ramai tidak tahu bahawa perahu sebenarnya perlu lesen serta tidak mendaftarkan kenderaan atas nama mereka, perkara ini boleh kita pertimbangkan kerana bilangannya tidak ramai.

“Tetapi, kalau betul mereka menggunakan petrol, semalam kita telah buka portal di Kementerian Kewangan untuk membolehkan rayuan dikemukakan, dan kita akan bantu,” katanya.

Beliau berkata demikian, ketika menyampaikan Ucapan Amanat pada Majlis Perjumpaan Bulanan Kementerian Kewangan di Putrajaya, pada Jumaat.

Turut hadir, Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican.

Perdana Menteri sekali lagi menegaskan langkah penyasaran subsidi petrol BUDI95 itu dilaksanakan bagi memastikan bantuan sampai kepada rakyat yang benar-benar layak, sekaligus mengelakkan berlakunya ketirisan serta penyalahgunaan.

Ujar beliau, walaupun terdapat teguran dan cadangan daripada pelbagai pihak, kerajaan kekal berpegang kepada prinsip tatakelola yang baik dalam melaksanakan dasar ini.

Katanya, penurunan harga petrol RON95 kepada RM1.99 seliter merupakan bukti keberkesanan pengurusan kewangan negara yang berhemat.

Beliau turut menjelaskan bahawa usaha itu tidak mungkin dilaksanakan tanpa kerjasama erat penjawat awam, khususnya di Kementerian Kewangan, LHDN, Jabatan Kastam, PDRM agensi penguatkuasaan lain bagi membendung ketirisan berbilion ringgit.

Pada masa yang sama, beliau mengingatkan rakyat agar tidak terjerat dengan pihak yang cuba menumpahkan kekeliruan mengenai pelaksanaan BUDI95.

Beliau juga mendedahkan, program tersebut telah memberi manfaat secara langsung kepada lebih 16 juta rakyat Malaysia dan keluarga mereka.

“Jangan biarkan segelintir pihak membatalkan manfaat untuk puluhan juta rakyat hanya kerana isu kecil.

“Kerajaan tetap komited memastikan rakyat mendapat harga minyak yang lebih murah berbanding banyak negara lain di rantau ini,” ujarnya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat