PM jamin selesaikan isu pesawah, akan bertemu PeSAWAH

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, memberi jaminan akan campur tangan untuk menyelesaikan isu yang dibangkitkan oleh pesawah dalam masa terdekat.

Menurut Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH), Abdul Rashid Yob, perkara ini disampaikan oleh Setiausaha Politik Perdana Menteri, Chan Ming Kai, semasa penyerahan memorandum oleh PeSAWAH hari ini.

Rashid turut memaklumkan bahawa satu pertemuan antara PeSAWAH, Perdana Menteri dan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, akan diatur dalam masa terdekat.

“Keputusan hari ini, apa yang kita bawa (memorandum) diterima. Setiausaha Politik PM bersetuju dengan apa yang kita bawa.

“Dan kita dimaklumkan akan ada pertemuan dengan Perdana Menteri dan Menteri Pertanian dengan PeSAWAH bagi membincangkan isu-isu kumpulan petani dalam masa terdekat. Pertemuan ini akan disegerakan,” katanya dalam sidang media di perkarangan Wisma Tani, Putrajaya, hari ini.

Sebelum ini, Perdana Menteri Anwar menasihatkan agar perhimpunan tidak mengganggu lawatan rasmi Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, ke Malaysia.

Perhimpunan berlangsung secara aman dengan kehadiran pihak berkuasa yang memastikan kelancaran acara.

Kira-kira 500 pesawah dari seluruh negara berarak dan berhimpun di perkarangan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan seawal jam 9.40 pagi tadi dengan 10 wakil PeSAWAH kemudiannya menyerahkan memorandum di Pejabat Perdana Menteri (PMO) pada jam 10 pagi.

Selain menuntut peningkatan harga lantai padi, PeSAWAH turut membantah Rang Undang-Undang Kualiti Benih Tanaman kerana ia dirangka tanpa ada perbincangan dengan mereka terlebih dahulu.

PeSAWAH berkata RUU yang dirangka itu dilihat membebankan petani kecil seperti mereka.

“Kami berharap agar kerajaan dapat memberikan perhatian serius terhadap isu yang dibangkitkan dan mengambil tindakan sewajarnya.

“Ini bagi memastikan kelestarian dan kesejahteraan pesawah serta keterjaminan makan negara.

“Pesawah amat menghargau kerjasama dan tindakan segera pihak kerajaan,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat