BEIJING: Lawatan kerja empat hari Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke China membuahkan hasil lumayan apabila Malaysia meraih potensi pelaburan baharu berjumlah RM905 juta serta prospek eksport keseluruhan mencecah RM2.3 bilion
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, berkata pelaburan itu sebahagian besarnya melibatkan sektor kimia dan telekomunikasi.
Selain itu, Malaysia turut memperoleh potensi eksport bernilai RM108 juta melalui kerjasama dengan gergasi e-dagang China, JD.com.
Melalui sesi libat urus dengan Persatuan Industri Semikonduktor China (CSIA) serta MATRADE, wujud potensi eksport tambahan RM2.2 bilion dalam tempoh satu hingga dua tahun akan datang.
“Perkembangan ini turut memberi isyarat positif kepada perdagangan semikonduktor antara Malaysia dan China,” katanya pada sidang media di akhir lawatan kerja Perdana Menteri.
Anwar sebelum ini turut menegaskan dalam Dialog Perniagaan Peringkat Tinggi Malaysia-China bahawa kestabilan negara serta strategi ekonomi yang jelas menjadikan Malaysia destinasi pelaburan menarik.
Pencapaian ini menegaskan keberkesanan diplomasi ekonomi Malaysia di bawah kepimpinan Anwar, sekali gus mengukuhkan keyakinan pelabur asing terhadap kestabilan dan hala tuju ekonomi negara.