PM Ke Doha, Sampai Kenyataan Negara Di Sidang Kemuncak Tergempar Arab-Islam

DOHA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berangkat ke Doha bagi menghadiri Sidang Kemuncak Tergempar Arab-Islam yang diadakan susulan serangan terhadap Qatar yang didakwa dilakukan oleh rejim Zionis Israel.

Dalam satu hantaran di Facebook, Anwar berkata, komitmen Malaysia untuk menyampaikan Kenyataan Negara pada sidang berkenaan adalah sebagai tanda solidariti terhadap Qatar yang menjadi mangsa serangan biadab.

“Berangkat ke Doha, Qatar bagi menghadiri Sidang Kemuncak Tergempar Arab-Islam. Insya-Allah, esok (Isnin) saya akan menyampaikan Kenyataan Negara bagi menzahirkan solidariti Malaysia terhadap Qatar yang menjadi mangsa serangan biadab Zionis Israel,” katanya.

Anwar menyifatkan serangan terhadap Qatar sebagai bukti nyata bahawa kezaliman Zionis tidak mengenal sempadan.

“Serangan terhadap Qatar ini jelas membuktikan bahawa kezaliman Zionis tidak terbatas.

“Ia bukan sahaja menindas rakyat Palestin sejak puluhan tahun, malah kini mengancam kedaulatan negara-negara Arab dan Islam seluruhnya.

“Jika Qatar boleh diserang, maka tiada negara yang benar-benar selamat daripada ancaman mereka,” ujarnya.

Malaysia, katanya, mengecam sekeras-kerasnya tindakan tersebut dan menyeru dunia Arab-Islam serta masyarakat antarabangsa untuk bangkit mempertahankan maruah dan keamanan sejagat.

“Malaysia mengecam sekeras-kerasnya tindakan zalim ini.

“Kita berdiri teguh bersama Qatar dan Palestin serta seluruh dunia yang cintakan keamanan serta keadilan.

“Inilah saatnya untuk dunia Arab-Islam, dan masyarakat antarabangsa bangkit bersatu mempertahankan maruah, menghentikan keganasan, dan menjamin keselamatan sejagat,” katanya.

Anwar turut menegaskan pendirian Malaysia yang tidak akan tunduk atau berdiam diri selagi penindasan terhadap rakyat Palestin berterusan.

“Saya juga akan tegaskan sekali lagi, Malaysia tidak akan tunduk, tidak akan goyah dan berdiam diri selagi penindasan ini berterusan.

“Malaysia tetap berdiri bersama rakyat Palestin yang dizalimi,” katanya lagi.

Anda Mungkin Berminat