PM Kecam Tindakan Unilateral, Seru Hormati Negara Kecil

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kepentingan menghormati negara-negara kecil di peringkat antarabangsa sambil mengecam tindakan unilateral oleh kuasa besar yang dianggap sebagai keangkuhan politik.

Dalam syarahan umum bertajuk “ASEAN dalam Dunia Multipolar: Perspektif Malaysia” di Moscow State Institute of International Relations (MGIMO), beliau menekankan bahawa setiap negara harus diiktiraf tanpa mengira saiz, kekayaan atau kekuatan politik.

“Kita perlu menunjukkan bahawa setiap komuniti, setiap negara, sama ada kecil, kaya atau miskin, harus diberi penghormatan dan pengiktirafan,” katanya.

Pada majlis tersebut, Anwar turut menerima Ijazah Kehormat Doktor daripada MGIMO sebagai penghargaan terhadap sumbangannya dalam bidang hubungan antarabangsa.

Menurut Perdana Menteri, hubungan antara negara tidak seharusnya terbatas kepada politik dan diplomasi sahaja tetapi turut merangkumi perdagangan, pelaburan serta kerjasama dalam industri dan pendidikan.

“Negara-negara perlu memastikan asas ekonomi kukuh, namun nilai kemanusiaan tidak boleh diabaikan,” tegasnya.

Dalam rangka lawatan itu, Anwar turut mengucapkan penghargaan kepada Presiden Rusia, Vladimir Putin serta rakyat negara itu atas layanan mesra yang diberikan kepada delegasi Malaysia.

Meskipun kedua-dua negara mempunyai latar belakang budaya dan tamadun yang berbeza, beliau menyifatkan pertemuannya dengan Putin sebagai satu perbincangan positif yang mencerminkan semangat saling menghormati.

“Kami hadir atas jemputan beliau dan saya serta rakan-rakan diberi layanan penuh hormat. Satu pengiktirafan kepada Malaysia sebagai negara kecil,” katanya.

Anwar menekankan bahawa prinsip kesaksamaan yang diamalkan ASEAN perlu ditonjolkan di peringkat global bagi mewujudkan kerjasama yang lebih adil antara negara-negara dunia.

Beliau turut berkongsi perkembangan pendidikan antara Malaysia dan Rusia dengan hampir 400 pelajar Rusia kini melanjutkan pengajian di Malaysia, sementara sekitar 700 pelajar Malaysia menuntut di Rusia.

Pada masa yang sama, beliau menyambut baik usaha MGIMO dalam menawarkan kursus Bahasa Malaysia, seiring dengan inisiatif Universiti Malaya yang menawarkan bahasa Rusia sebagai salah satu bidang pengajian.

Anda Mungkin Berminat