PM, Kerajaan berjaya padam nama semakan kehakiman kes Mukhriz lawan LHDN

KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berjaya mengeluarkan nama mereka daripada permohonan semakan kehakiman oleh Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Terdahulu, Mukhriz mencabar tindakan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengeluarkan Nota Taksiran Tambahan terhadapnya yang melibatkan RM5 juta.

Memetik Berita Harian, Mukhriz telah memfailkan permohonan semakan kehakiman pada 20 Disember pada tahun lalu dengan menamakan Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri, Anwar Ibrahim sebagai Menteri Kewangan serta kerajaan sebagai responden pertama hingga ketiga.

Menerusi prosiding di Mahkamah Tinggi hari ini, Hakim Datuk Amarjeet Singh membenarkan permohonan Perdana Menteri dan kerajaan bagi memadamkan nama mereka selepas mendengar hujahan daripada Peguam Kanan Persekutuan, Irmawati Daud mewakili Anwar dan peguam Syed Afiq Syed Albaqri bagi pihak Mukhriz.

Namun, Amarjeet menolak permohonan Anwar serta kerajaan untuk mengeluarkan beberapa perenggan dalam afidavit Mukhriz yang memperkatakan dan menyentuh mengenai mereka.

Kes sebutan semula kemudian ditetapkan pada 16 Disember depan bagi mendengar permohonan semakan kehakiman itu.

Melalui notis permohonan, Anwar dan kerajaan memohon penamaan mereka dalam semakan kehakiman bertarikh 20 Disember 2024 berserta pernyataan bawah Aturan 53(2) Kaedah-kaedah Mahkamah 2012 dan afidavit sokongan Mukhriz dibatalkan.

Secara alternatifnya, Anwar dan kerajaan membuat permohonan itu bawah bidang kuasa tersirat Mahkamah Tinggi.

Mereka membuat permohonan itu atas alasan prosiding semakan kehakiman terbabit berbangkit daripada keputusan LHDN yang dikeluarkan melalui surat bertarikh 27 September tahun lalu kepada Mukhriz.

Ia membabitkan Notis Taksiran Tambahan bagi 2017 berjumlah RM2,558,875.90; bagi 2018 berjumlah RM2,445,004.91; dan bagi 2019 berjumlah RM16,826.37.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat