PM Ketemu Pengurusan Tertinggi JPA, Fokus Reformasi Dan Kecekapan

PUTRAJAYA: Suasana penuh makna menyelubungi Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir buat pertama kali ke jabatan tersebut sempena Program Ihya’ Ramadan bersama Pengurusan Tertinggi JPA.

Kehadiran beliau disambut oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz bersama barisan kepimpinan tertinggi JPA.

Lawatan bersejarah itu bukan sekadar majlis ramah mesra tetapi menjadi wadah strategik untuk membincangkan hala tuju reformasi perkhidmatan awam.

Menurut siaran media JPA, program tersebut memberi ruang kepada Perdana Menteri dan pengurusan tertinggi jabatan untuk mengupas isu-isu penting seperti kecekapan sistem penyampaian kerajaan, pembangunan modal insan serta pengukuhan tadbir urus.

“Kehadiran YAB Perdana Menteri ke JPA ini mencerminkan kepentingan strategik jabatan tersebut sebagai agensi pusat dalam penggubalan dasar serta pembangunan modal insan sektor awam,” jelas kenyataan itu.

Perdana Menteri turut menzahirkan komitmen kerajaan dalam memperkukuh agenda reformasi institusi agar perkhidmatan awam kekal relevan, berdaya saing dan responsif terhadap keperluan rakyat.

JPA pula menegaskan peranan mereka sebagai peneraju reformasi sektor awam, memastikan penyampaian perkhidmatan yang cekap, berprestasi tinggi dan berorientasikan rakyat, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.

Anda Mungkin Berminat