KUCHING: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan singkat dengan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Abang Openg serta barisan pimpinan kanan negeri, sejurus tiba di Kuching, petang ini.
Pertemuan itu memberi ruang kepada kedua-dua pihak untuk membincangkan pelbagai perkara yang menjadi kepentingan bersama termasuk usaha memperkukuh kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak.
“Alhamdulillah kami dapat membincangkan pelbagai perkara yang menjadi kepentingan bersama termasuk usaha memperkukuh kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak,” kata Anwar menerusi satu hantaran, hari ini.
Terdahulu, Anwar tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) pada pukul 4.28 petang bagi lawatan kerja ringkas ke negeri ini.
Ketibaan beliau disambut oleh Abang Zohari serta Timbalan Premier, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Anwar dijadual menghadiri Majlis Makan Malam Sambutan Hari Gawai Peringkat Sarawak 2025 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), bersama kepimpinan tertinggi negeri.
Turut hadir, Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Dr Sim Kui Hian; Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala; serta beberapa timbalan menteri lain.