PM kutuk serangan kejam di Pahalgam, Kashmir

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengeluarkan kenyataan tegas mengutuk serangan kejam yang berlaku di Pahalgam, wilayah Kashmir yang ditadbir oleh India.

Menerusi satu hantaran di Facebook, Anwar berkata, serangan tersebut yang dilaporkan melibatkan pengasingan mangsa sebelum mereka dibunuh telah mengejutkan masyarakat antarabangsa dengan kekejaman yang terancang dan tidak berperikemanusiaan.

“Keganasan seperti ini tidak mempunyai tempat dalam mana-mana masyarakat yang bertamadun,” katanya.

Beliau turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan mendoakan agar mereka yang cedera pulih dengan cepat dan sepenuhnya.

Perdana Menteri menekankan pentingnya kebijaksanaan dan kesabaran dalam menghadapi tragedi seperti itu.

“Kita tidak boleh membiarkan tindakan keganasan seperti ini memperdalam perpecahan, tetapi sebaliknya menegaskan komitmen bersama terhadap keamanan, keadilan dan maruah manusia,” ujarnya.

Anwar turut menggesa masyarakat antarabangsa untuk memainkan peranan aktif dalam mengenal pasti pelaku yang masih bebas dan memastikan mereka dibawa ke muka keadilan.

Tambah beliau, kekejaman seperti itu tidak boleh berulang lagi.

Pada 22 April lalu, serangan ganas berlaku di Lembah Baisaran, Pahalgam, yang terletak di daerah Anantnag, Jammu dan Kashmir yang ditadbir oleh India.

Serangan itu dilakukan oleh lima militan bersenjata yang memakai pakaian seragam tentera dan membawa senjata seperti AK-47 dan M4 carbine.

Mereka muncul dari hutan pinus yang tebal dan mula menembak secara membabi buta ke arah pelancong di kawasan tersebut.

Serangan itu mengakibatkan sekurang-kurangnya 26 orang terbunuh dan lebih daripada 20 orang cedera.

Anda Mungkin Berminat