PM Lancar Tiga Inisiatif MADANI

PULAU PINANG: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini, hadir ke UiTM Cawangan Pulau Pinang untuk melancarkan tiga agenda utama pembangunan.

Iaitu Pelan Induk Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang 2026–2035, Program Tunas MADANI dan Projek Perumahan JKPSB.

Dalam ucapannya, Anwar berkata, tanggungjawab seorang pemimpin bukan hanya pada kuasa tetapi pada keberanian menterjemahkan mandat kepada tindakan bermakna.

“Kuasa bukan sekadar untuk disandang atau keistimewaan tetapi adalah amanah yang mesti dimanfaatkan sebaiknya demi kebaikan rakyat.

“Peluang yang ada perlu diterjemahkan melalui dasar, program dan projek yang benar-benar menyentuh denyut nadi rakyat,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Pelan Induk yang dilancarkan bertujuan membina komuniti Bumiputera yang inklusif dan mampan, manakala Program Tunas MADANI memberi ruang kepada usahawan muda untuk membina daya tahan dalam pasaran.

Sementara itu, Projek Perumahan JKPSB bakal menyediakan kediaman mampu milik yang lebih selesa buat rakyat marhaen.

Perdana Menteri turut menyuarakan keprihatinan terhadap pelbagai cabaran yang dihadapi masyarakat Bumiputera.

“Saya amat memahami cabaran yang masih dihadapi masyarakat Bumiputera sama ada dalam merebut peluang perniagaan, memperkukuh keupayaan keusahawanan, meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti ataupun dalam soal pemilikan rumah yang selesa dan mampu milik,” katanya.

Majlis berkenaan turut memperkenalkan Program Didik Kasih Peranti MADANI sebagai penghargaan kepada pelajar SPM daripada keluarga kurang berkemampuan yang menunjukkan kecemerlangan dalam akademik.

Dilaporkan, lebih daripada 3,000 masyarakat tempatan hadir dalam kenduri rakyat yang diadakan sempena pelancaran tersebut.

Anda Mungkin Berminat