PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad meneliti isu yang dibangkitkan oleh pengamal perubatan am (GP) swasta susulan bantahan terhadap pelaksanaan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723).
Arahan itu dibuat selepas isu berkenaan dibangkitkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri semalam, susulan perhimpunan kira-kira 200 doktor dan GP di Laman Perdana berhampiran Bangunan Perdana Putra, kelmarin.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, antara perkara yang dibangkitkan adalah pelaksanaan Akta 723 yang memerlukan klinik swasta dan farmasi mempamerkan harga ubat-ubatan, di bawah seliaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
“Ada GP yang mempersoalkan kenapa akta itu digunakan dan bukannya Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586) yang secara khusus mengawal selia sektor kesihatan swasta,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat Kabinet, hari ini.
Tambahnya, Kementerian Kesihatan juga sedang menyiapkan kertas Jemaah Menteri berhubung kajian semula Jadual Ketujuh Akta 586 yang mengawal caj perundingan dan prosedur di klinik swasta.
“Dr Dzulkefly memaklumkan perkara ini akan dibawa semula ke mesyuarat Jemaah Menteri dalam tempoh satu hingga dua minggu untuk pertimbangan dan keputusan,” katanya.
Sebelum ini, Kementerian Kesihatan memberi jaminan bahawa semakan kadar yuran perundingan GP swasta akan dimuktamadkan dalam tempoh sebulan, dan kertas cadangan berkaitannya sedang disiapkan untuk dibentangkan.
Baca juga: