PM, Menteri KDN Lulus Misi Bawa Pulang Kapal Gergasi Dari AS

PETALING JAYA: Malaysia bakal melakar detik bersejarah apabila seramai 46 anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berangkat ke Baltimore, Amerika Syarikat (AS) esok (Jumaat) bagi menjalankan misi membawa pulang kapal EX-USCG Cutter Steadfast ke tanah air.

Dalam satu kenyataan media, Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah menyifatkan misi tersebut sebagai simbol kebanggaan bukan sahaja kepada agensi tetapi kepada negara secara keseluruhannya.

“Misi ini bukan sekadar pelayaran biasa. Ia simbol pengiktirafan antarabangsa kepada keupayaan dan profesionalisme Maritim Malaysia.

“Jaga nama baik negara, kekalkan integriti dan tunjukkan disiplin tinggi sepanjang anda semua berada di sana,” katanya.

Beliau berkata, pasukan yang terlibat merupakan kru pertama bagi kapal berkenaan yang bakal menjadi aset strategik baharu Maritim Malaysia, sekali gus memperkukuh keupayaan penguatkuasaan negara terutamanya di perairan Laut China Selatan.

Rosli turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Madani pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail atas kelulusan membawa pulang aset tersebut dari Pengawal Pantai AS.

“Tanpa sokongan padu kerajaan, misi sebegini tidak akan menjadi kenyataan.

“Ini bukti bahawa kepimpinan negara sentiasa mendukung pengukuhan keselamatan maritim Malaysia,” tambahnya.

Untuk info, kapal berkenaan adalah sepanjang 64.14 meter dan selebar 10 meter, mampu mencapai kelajuan sehingga 18 knot serta dijangka tiba di Malaysia pertengahan November 2025.

Untuk persediaan awal, katanya lagi, empat kru Maritim Malaysia telah menjalani latihan penyesuaian serta pemeriksaan teknikal di Baltimore sejak Mei lalu.

Anda Mungkin Berminat