PM minta penduduk kawasan risiko banjir ikut arahan pihak berkuasa

KENYA: Perdana Menteri menyeru penduduk di kawasan berisiko untuk kekal waspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa, terutama apabila diminta segera berpindah.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau mengikuti perkembangan dari jauh dan menitipkan keselamatan keluarga harus menjadi keutamaan.

“Meski jauh di Kenya, saya ikuti rapat perkembangan musibah banjir yang semakin memburuk dan menjejaskan lebih 15,000 mangsa di tujuh negeri.

“Menurut laporan yang diterima, NADMA bersama semua aset agensi berkaitan telah digerakkan sepenuhnya ke kawasan terjejas bagi menyelamatkan rakyat yang masih terperangkap, di samping memastikan bantuan segera sampai kepada semua mangsa.

“Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) juga telah dikerah ke Kelantan yang paling teruk terkesan, serta bersedia ke negeri-negeri lain bagi mempercepatkan operasi menyelamat dan bantuan kecemasan di lapangan,” katanya menerusi kenyataan di Facebook sebentar tadi.

Anwar menjelaskan Kerajaan turut menggerakkan Skuad Ihsan MADANI ke semua kawasan terjejas untuk membantu menguruskan kebajikan mangsa banjir di hampir 100 pusat pemindahan sementara (PPS) yang telah dibuka di tujuh negeri.

“Dalam tempoh yang sukar dan mencabar ini, saya mendoakan agar semua mangsa banjir dikurniakan kekuatan, ketabahan serta dilindungi daripada sebarang kemudaratan. Semoga kita semua dipermudahkan dalam menghadapi ujian ini,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat