Oleh: Shafira Aziz
KOTA KINABALU: Sabah wajar menggunakan peruntukan sebanyak RM6.7 bilion dengan cekap.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ini memandangkan negeri berkenaan menerima peruntukan pembangunan terbesar dalam Belanjawan 2025 dengan kenaikan 0.45 peratus.
Jumlah itu menunjukkan peningkatan berbanding RM6.67 bilion yang diperuntukkan Kerajaan Persekutuan pada tahun ini.
Beliau turut mengingatkan bahawa peruntukan tersebut adalah peluang penting untuk mempercepatkan pembangunan dan meningkatkan kesejahteraan rakyat Sabah.
“Kini terpulang kepada Kerajaan Sabah untuk memastikan semua rancangan dilaksanakan dengan berkesan demi kesejahteraan rakyat dan kemajuan di ‘Negeri Bawah Bayu’ ini,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Anwar berkata demikian ketika merasmikan Sabah International Blue Economy Conference 2024 (SIBEC 2024) di sini.
Dalam pada itu, Anwar turut menyentuh mengenai perlunya pentadbiran yang telus dan kerjasama erat antara pihak kerajaan dan swasta bagi memastikan keberkesanan projek-projek yang dirancang.
“Sebarang prakarsa menuntut kepimpinan yang telus, disokong kestabilan politik dan kebersamaan semua pihak, termasuk sektor swasta,” tambahnya.
Dalam ucapannya, Anwar menekankan keperluan untuk merancang masa depan dengan lebih kreatif dan inovatif, mengambil kira kemajuan teknologi semasa.
Hal ini selaras dengan tema ekonomi biru yang dibawa oleh SIBEC 2024, yang memberi tumpuan kepada potensi maritim dan lautan sebagai sumber ekonomi utama negeri itu.