PM mula jelajah Ramadan minggu depan, fokus noktah miskin tegar

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memulakan jelajah ke negeri-negeri minggu depan untuk membincangkan agenda menoktahkan kemiskinan tegar bersama pemimpin negeri.

Setiausaha Akhbar Kanannya, Tunku Nashrul Abaidah, memaklumkan bahawa perkara itu akan diadakan dalam Mesyuarat Khas Pembangunan Negeri bersama pimpinan utama Kerajaan Negeri dan agensi yang akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri.

“Agenda menoktahkan kemiskinan tegar kekal sebagai keutamaan tertinggi Perdana Menteri dalam perbincangan bersama pimpinan Kerajaan Negeri dan agensi.

Sejak diumumkan dalam Belanjawan 2023, semua Setiausaha Politik telah digerakkan ke negeri-negeri untuk memastikan bantuan disalurkan secara tersusun kepada kumpulan miskin tegar,” katanya dalam Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri (PMO) pada Rabu.

Jelasnya, usaha itu merangkumi peningkatan pendapatan golongan sasar, menyediakan peluang pekerjaan, akses lebih baik kepada pendidikan, kesihatan dan perumahan serta memperbaiki taraf hidup dan kesejahteraan isi rumah miskin.

“Sehingga 31 Disember tahun lalu, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka dan Perlis berjaya mencapai sifar miskin tegar dan kejayaan ini akan diperluas ke negeri-negeri lain,” katanya.

Perdana Menteri juga dimaklumkan akan menghadiri Majlis Berbuka Puasa MADANI di negeri-negeri yang dikunjungi beliau.

Anda Mungkin Berminat