PM Mula Lawatan Rasmi ke Rusia, Bertemu Pemimpin Tertinggi

MOSCOW: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah selamat tiba di Moscow petang semalam bagi memulakan rangka lawatan rasmi ke Persekutuan Rusia sehingga Jumaat ini.

Lawatan itu bertujuan memperkukuh hubungan diplomatik Malaysia-Rusia serta merintis kerjasama baharu dalam pelbagai bidang strategik.

Dalam satu hantaran di Facebook beliau, Anwar menegaskan kepentingan lawatan itu untuk masa depan hubungan dua hala antara kedua-dua negara.

“Insya-Allah sepanjang lawatan ini, saya akan mengadakan pertemuan peringkat tertinggi bersama Presiden Rusia, Vladimir Putin dan Perdana Menteri Rusia, Mikhail Mishustin bagi memperkukuh persahabatan Malaysia-Rusia serta merintis kerjasama baharu dalam pelbagai bidang strategik,” katanya.

Selain pertemuan dengan pemimpin tertinggi Rusia, Perdana Menteri turut dijadualkan bertemu beberapa pemimpin industri utama negara itu dalam usaha menarik lebih banyak pelaburan berimpak tinggi ke Malaysia.

Anwar juga akan menghadiri Mesyuarat Kumpulan Visi Strategik Russia-Islamic World serta KazanForum di Kazan yang merupakan sebuah platform yang menghimpunkan pemimpin dunia Islam dan Rusia bagi memperkukuh dialog serta kerjasama ekonomi.

Pada masa yang sama, Anwar turut mengajak rakyat Malaysia untuk sama-sama mendoakan kejayaan delegasi negara dalam melaksanakan misi penting ini.

“Doakan misi saya bersama delegasi Malaysia berjaya menggalas amanah besar memangkin pertumbuhan ekonomi, memperluas jaringan strategik serta membawa limpahan kemakmuran untuk seluruh rakyat Malaysia,” tambahnya.

Anda Mungkin Berminat