PM Pakistan Disambut Penuh Istiadat Di Putrajaya

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Pakistan, Muhammad Shehbaz Sharif menerima sambutan rasmi penuh istiadat di Bangunan Perdana Putra pagi ini, sempena lawatan rasminya selama tiga hari ke Malaysia yang bermula Ahad.

Ketibaan beliau tepat pukul 10 pagi disambut oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebelum lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan sebagai simbol penghormatan diplomatik.

Pemimpin Pakistan itu kemudian memeriksa pasukan kawalan kehormatan Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja yang diketuai Mejar Muhammad Akmal Hakim Sabarudin.

Turut hadir menyambut ketibaan beliau ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir serta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Lawatan ini merupakan kunjungan balas kepada lawatan rasmi Anwar ke Pakistan pada Oktober lalu dan dijangka memperkukuh hubungan dua hala yang telah terjalin sejak 1957.

Seusai acara sambutan, kedua-dua pemimpin dijadual mengadakan mesyuarat dua hala bagi membincangkan pelbagai bentuk kerjasama strategik.

Antara yang bakal disentuh termasuk perdagangan dan pelaburan, industri halal, pendidikan, pelancongan serta pertahanan.

Selain itu, pertemuan tersebut juga akan menyentuh isu-isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama, termasuk usaha memperkukuh suara Malaysia–Pakistan di pentas global.

Sesi hari ini turut menyaksikan pertukaran lima memorandum persefahaman (MoU), antaranya melibatkan pencegahan rasuah, perusahaan kecil dan sederhana serta Pertukaran Nota (EoN) dalam bidang latihan untuk diplomat.

Dalam satu majlis berasingan, Muhammad Shehbaz dijadual menyerahkan naskhah buku ‘SCRIPT: For a Better Malaysia’ dalam bahasa Urdu kepada Anwar, sebagai simbol penghargaan dan perkongsian nilai antara dua sahabat negara.

Anwar dan Muhammad Shehbaz akan mengadakan sidang media bersama selepas mesyuarat dua hala, sebelum menghadiri jamuan tengah hari yang dihoskan oleh Perdana Menteri Malaysia di Kompleks Seri Perdana.

Setakat tahun lalu, nilai perdagangan antara Malaysia dan Pakistan mencecah RM8.07 bilion iaitu peningkatan sebanyak 25.5 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Anda Mungkin Berminat