PM Pandu Uji e.MAS 7, Simbol Kemajuan Automotif Malaysia

PUTRAJAYA: Dalam kesibukan menjalankan tugasan harian, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkesempatan mencuba dan memandu uji kenderaan elektrik (EV) pertama keluaran Proton, e.MAS 7 di sekitar kawasan pejabat pada Rabu.

Menurut beliau, model itu bukan sekadar pencapaian teknologi tetapi juga satu manifestasi kebanggaan negara dalam industri automotif.

Tambahnya, Proton e.MAS 7 telah dipilih sebagai kenderaan rasmi Malaysia sempena jawatan Pengerusi ASEAN 2025 yang merupakan satu pengiktirafan yang menegaskan kemampuan anak tempatan dalam menerajui teknologi masa hadapan.

“Pemilihan ini bukan sahaja mencerminkan kemajuan teknologi tempatan tetapi juga keyakinan terhadap kebolehan anak tempatan dalam menerajui industri automotif masa hadapan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Kata Anwar, sebagai tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46, Malaysia bakal memperkukuh kedudukan sebagai peneraju industri kenderaan elektrik serantau.

Beliau percaya, Proton e.MAS 7 diyakini mampu menjadi pemangkin kepada promosi serta pembangunan industri EV yang semakin berkembang pesat di negara ini.

Katanya, ianya lebih daripada sekadar simbol kerana inisiatif ini juga seiring dengan komitmen Malaysia ke arah pelepasan karbon sifar bersih dalam tahun-tahun mendatang.

Tambahnya, ia selaras dengan agenda kelestarian dan peralihan tenaga hijau negara dan usaha ini sejajar dengan matlamat Malaysia MADANI yang menitikberatkan inovasi dan daya saing global.

“Marilah kita terus menyokong inovasi tempatan dan berusaha ke arah masa depan yang lebih lestari, berdaya saing dan berteknologi tinggi,” katanya.

Anda Mungkin Berminat