KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Pelaburan Bumiputera (YPB) bagi meneliti prestasi semasa syarikat-syarikat di bawah naungannya.
Dalam mesyuarat tersebut, Perdana Menteri menegaskan kepentingan memperkukuh daya saing ekonomi domestik demi menjamin pulangan mampan kepada para pemegang unit amanah di tengah ketidaktentuan ekonomi global.
Beliau turut menggesa Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) untuk melipatgandakan usaha meningkatkan celik pelaburan dalam kalangan masyarakat terutamanya Bumiputera.
Sementara itu, Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) disaran kekal konsisten dalam memperkasa usahawan Bumiputera melalui akses kepada pembiayaan serta program peningkatan kapasiti dan daya saing.
“Semua agensi dan syarikat berkaitan Kerajaan yang memegang mandat pembangunan Bumiputera perlu terus menjadi pemacu dasar dan pelaksana utama inisiatif kerajaan terutamanya menerusi Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera (PuTERA35),” kata Anwar.
Inisiatif tersebut selari dengan komitmen Kerajaan MADANI untuk memperkukuh ekuiti dan pencapaian ekonomi Bumiputera secara mampan dan menyeluruh.