PM Persembah Cadangan Belanjawan 2026 Kepada Agong

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mempersembahkan dokumen cadangan Belanjawan 2026 kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, dalam satu sesi menghadap yang berlangsung di Istana Bukit Tunku.

Perkara itu dimaklumkan menerusi hantaran di Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, yang menyatakan bahawa sesi pembentangan dokumen tersebut berlangsung dalam suasana penuh hormat dan rasmi di istana berkenaan.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, dijadual membentangkan cadangan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat pada pukul 4 petang esok, menjadikannya belanjawan keempat di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI.

Dalam sesi taklimat bersama editor media di Putrajaya pada Rabu, Anwar berkata, Belanjawan 2026 akan memberi tumpuan kepada tiga teras utama.

“Belanjawan keempat di bawah Kerajaan MADANI akan memberi tumpuan kepada tiga teras utama, iaitu memelihara kebajikan rakyat, memperkukuh ekonomi negara serta mengukuhkan asas pembangunan yang mampan dan inklusif,” katanya.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 akan dibahas selama lapan hari di peringkat dasar, sebelum sesi penggulungan oleh menteri berlangsung dari 29 Oktober hingga 4 November.

Perbahasan di peringkat jawatankuasa pula dijadualkan dari 5 hingga 27 November, sebelum rang undang-undang tersebut diluluskan secara rasmi oleh Dewan Rakyat.

Anda Mungkin Berminat