PM pertimbang bantuan sekali RM100 untuk siswa

CYBERJAYA: Kerajaan sedia mempertimbangkan cadangan pemberian bantuan tambahan RM100 secara sekali bayar kepada mahasiswa bagi meringankan beban kos sara hidup, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata perkara itu boleh dipertimbang dalam belanjawan akan datang selain langkah lain yang dapat membantu rakyat.

“Saya telah meluluskan pemberian RM100 di bawah Sumbangan Asas Rahmah kepada semua penerima berusia 18 tahun ke atas. Walaupun ia bayaran sekali, saya sedar masih ada keperluan lain,” katanya dalam Program Temu Anwar di Universiti Multimedia (MMU) di sini pada Isnin.

Beliau menjawab soalan wakil mahasiswa yang mencadangkan bantuan tambahan disalurkan kepada golongan itu.

Anwar turut mengakui kos sara hidup menekan rakyat, namun menegaskan harga minyak, ayam, telur dan gula di Malaysia masih lebih rendah berbanding banyak negara lain.

“Jika ditanya masalah paling membimbangkan saya sebagai Perdana Menteri, ia adalah isu kemiskinan tegar dan beban yang ditanggung rakyat. Sebab itu gaji penjawat awam kita naikkan, tapi bukan gaji menteri atau Ahli Parlimen,” ujarnya.

Beliau menekankan kepentingan tatakelola perolehan negara yang telus agar perbelanjaan dapat dijimatkan.

“Dalam tempoh satu hingga dua tahun lalu, LHDN dan SPRM berjaya merampas dana hingga RM5 bilion daripada pihak yang mengaut kekayaan secara salah. Ini membuktikan jika tatakelola diperkukuh, banyak yang dapat kita selamatkan,” jelasnya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat