PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan penghargaan kepada para guru yang berjuang di medan ilmu demi kejayaan pendidikan negara.
Dalam satu hantaran beserta videi di Facebook, hari ini, beliau bersama karakter animasi terkenal, Ejen Ali, menyampaikan ucapan terima kasih kepada seluruh warga pendidik yang telah mendidik rakyat Malaysia demi melahirkan generasi Madani.
“Teruskanlah misi menyemai ilmu dengan tulus ikhlas dan tekad, kami semua menjadi saksi betapa besarnya jasa guru.
“Andalah wira sejati yang membentuk masa depan Malaysia,” katanya.
Anwar berkata, setiap individu, tidak kira pemimpin, doktor, petani atau bahkan dirinya sebagai Perdana Menteri, semuanya bermula dengan pembelajaran di bilik darjah.
“Semuanya pernah menulis, membaca dan mengira. Guru ialah insan yang tidak pernah meminta untuk dipuja tetapi setiap hari mereka menghembus kesabaran dalam mengukir masa depan anak bangsa dengan penuh kasih sayang,” ujarnya.
Beliau turut menyifatkan guru sebagai satria yang sabar membentuk akhlak serta teguh mempertahankan nilai-nilai negara.
“Tugas kita belum selesai kerana penat lelah membentuk sahsiah seorang insan tidak berakhir dengan tamatnya sesi persekolahan.
“Ia adalah amanah yang berterusan dari satu generasi ke generasi yang seterusnya demi meneruskan pembinaan masyarakat Madani,” kata beliau.
Setiap tahun pada 16 Mei, Malaysia menyambut Hari Guru di seluruh sekolah, dari peringkat taska hingga ke sekolah menengah, sebagai tanda penghormatan terhadap pengorbanan dan jasa warga pendidik.