PM Rasmi Ijtima’ Madani Ulama, Tinjau Projek Penanaman Padi Organik di Kelantan

KOTA BHARU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini merasmikan Ijtima’ Madani Ulama dan Guru Pondok Kelantan, selain meninjau projek penanaman padi di bawah Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), pada hari terakhir Program Madani Rakyat (PMR) Kelantan 2025.

Perhimpunan yang berlangsung di Dewan Profesional, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Machang itu menjadi platform memperkukuh peranan ulama dan guru pondok dalam memartabatkan pendidikan agama serta warisan budaya pondok di negeri ini.

Anwar juga dijangka meninjau projek agropelancongan di Desa Gemalai Baruh Alami, Kota Bharu, yang menampilkan sawah padi organik bebas racun dan baja kimia sebagai model pertanian mampan.

Beliau kemudiannya melancarkan Gelombang Madani Negeri Kelantan di Dewan Utama Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, sebelum merasmikan penutupan PMR 2025 Kelantan di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV pada jam 2.15 petang.

PMR 2025 Kelantan, yang berlangsung selama tiga hari sejak Khamis, diterajui Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dengan kerjasama Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) serta sokongan pelbagai kementerian dan agensi kerajaan.

Bertemakan Sains, Teknologi dan Inovasi untuk Kesejahteraan Rakyat, program ini menawarkan lebih 100 perkhidmatan terus kepada rakyat, pameran teknologi terkini dan pelbagai inisiatif mendekati masyarakat.

Pendekatan menyeluruh ini selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI yang menekankan kesejahteraan rakyat melalui pembangunan inklusif, pendidikan, inovasi serta pemerkasaan ekonomi tempatan.

Kehadiran Anwar di Kelantan kali ini turut menonjolkan komitmen kerajaan untuk memperkukuh sektor pendidikan agama, pertanian mampan dan penyampaian perkhidmatan rakyat secara lebih efektif.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat