TAWAU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan Jelajah Malaysia Digital sebagai usaha memperkukuh penerapan teknologi kecerdasan buatan (AI) di seluruh negara termasuk kawasan luar bandar.
Program anjuran Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) itu menjadi platform penting dalam memacu kesiapsiagaan rakyat menghadapi perubahan ekonomi berasaskan teknologi, selain meningkatkan daya saing negara di peringkat global.
“AI kini semakin penting dalam membentuk masa depan ekonomi, daya saing dan kesejahteraan rakyat.
“Setiap negara perlu mengikuti arus perubahan teknologi yang pesat,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Isnin.
Anwar berkata, kerajaan melalui agenda Malaysia MADANI komited memastikan akses teknologi digital dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat, tanpa mengira lokasi.
“Kita mahu semua lapisan masyarakat termasuk di pedalaman tidak ketinggalan, sama ada dalam perniagaan, pendidikan, perbankan mahupun pembangunan sosial dan ekonomi,” katanya lagi.
Beliau turut menekankan bahawa usaha memperkasa digitalisasi bukan sekadar menyesuaikan diri dengan zaman tetapi perlu digerakkan dengan visi yang lebih besar dengan menjadikan Malaysia sebagai peneraju inovasi digital di rantau ini.
“Malaysia tidak boleh hanya menjadi pengguna teknologi tetapi perlu melangkah sebagai pencipta dan peneraju inovasi digital di rantau ini,” ujarnya.
Untuk info, Jelajah Malaysia Digital merupakan antara inisiatif utama kerajaan dalam memastikan transformasi digital negara bersifat inklusif, progresif dan berpaksikan kesejahteraan rakyat.








