PM rasmi Masjid Jamek Perai, seru umat Islam perkukuh syiar Islam

BUKIT MERTAJAM: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan Masjid Jamek Perai di sini, Pulau Pinang, hari ini.

Menurut satu hantaran di Facebook, Anwar berkata, ia menandakan satu lagi langkah penting dalam usaha Kerajaan MADANI memperkukuh syiar Islam di negeri itu dan seluruh Malaysia.

Dalam ucapannya, Anwar menyeru umat Islam untuk terus menyemarakkan dan mengimarah masjid sebagai pusat pembangunan ilmu dan pemberdayaan umat.

Beliau menekankan pentingnya institusi masjid dalam menganjurkan pelbagai aktiviti ilmiah yang mampu memperkasa masyarakat.

“Masjid bukan sekadar tempat ibadah tetapi juga pusat penyatuan dan pembangunan umat.

“Kita harus memastikan masjid menjadi ruang yang menyemai kasih sayang bukan kebencian atau prasangka,” tegasnya.

Anwar turut mengingatkan agar masjid tidak disalahgunakan sebagai platform untuk menyebarkan kebencian yang disifatkannya sebagai ancaman kepada keharmonian masyarakat.

“Kita harus menolak perbuatan sebegini yang semakin menular dan keterlaluan. Ia sama sekali tidak boleh dibiarkan,” katanya.

Sebagai tanda sokongan kepada usaha memperkasa institusi masjid, Perdana Menteri mengumumkan sumbangan sebanyak RM100,000 kepada Masjid Jamek Perai.

Dana itu akan digunakan untuk pelbagai aktiviti keagamaan dan pembangunan insaniah anak-anak kariah di kawasan tersebut.

Pembinaan masjid ini, menurut Anwar, adalah sebahagian daripada usaha berterusan Kerajaan MADANI untuk memperteguh syiar Islam dan memastikan institusi keagamaan terus relevan dalam pembangunan masyarakat.

Anda Mungkin Berminat