PM Sampai Sumbangan Kepada Ibu Tunggal Lapan Anak

KUANTAN: Keprihatinan terhadap nasib rakyat terus menjadi keutamaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, apabila bantuan disalurkan kepada seorang ibu tunggal warga emas, Melah Idris, yang hidup dalam serba kekurangan di sebuah rumah kayu usang di Kampung Padang, di sini.

Sumbangan itu disampaikan oleh Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Fauzi yang turut meninjau sendiri keadaan kediaman Melah yang tidak lagi selamat didiami.

Menurut hantaran di Facebook Farhan Fauzi, Melah menghidap pelbagai penyakit kronik dan hanya bergantung kepada ihsan anak-anak untuk meneruskan kehidupan.

“Bagi pihak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, saya menyampaikan sedikit sumbangan kasih dan sedang teliti bentuk bantuan paling sesuai buat beliau yakni bukan sekadar kewangan, tapi juga pemulihan semula tempat berteduh yang lebih selamat dan bermaruah,” katanya.

Farhan Fauzi yang juga Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Indera Mahkota berkata, bukan hanya bantuan kewangan diberikan tetapi juga meneliti keperluan jangka panjang termasuk pemulihan kediaman yang lebih selesa.

“Kerana rakyat seperti Melah inilah, tersimpan amanah besar buat kita semua.

“Supaya tiada siapa yang terpinggir dalam diam,” tambah beliau.

Anda Mungkin Berminat