TEBRAU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Ahad telah turun padang menyantuni warga PPR Taman Desa Mutiara, Tebrau bagi melihat sendiri keadaan kehidupan rakyat serta mendengar secara langsung keluh kesah dan keperluan sebenar.
Dalam lawatan itu, beliau menegaskan komitmen kerajaan untuk terus mendepani cabaran krisis bekalan dan tekanan kos sara hidup agar rakyat tidak dibiarkan menanggung beban bersendirian.
“Saya turut menjelaskan langkah yang sedang dan telah diusahakan Kerajaan MADANI dalam mendepani cabaran krisis bekalan serta tekanan kos sara hidup supaya rakyat terus mendapat pembelaan sewajarnya dan tidak dibiarkan memikul beban ini bersendirian,” katanya.
Perdana Menteri juga sempat berbual dengan para penghantar makanan p-hailing mengenai cabaran harian dalam mencari rezeki.
“Perkara ini akan saya bawa ke mesyuarat MTEN bagi meneliti ikhtiar terbaik untuk terus membantu golongan pekerja gig,” katanya.
Sebagai langkah segera demi keselesaan dan kebajikan penduduk, beliau mengumumkan peruntukan RM1 juta untuk PPR Taman Desa Mutiara.
“Saya meminta Ahli Parlimen Tebrau bersama wakil penduduk menyelaras segera keutamaan dan keperluan paling mendesak agar pelaksanaannya dapat dipercepat dan manfaatnya benar-benar dirasai,” kata beliau.








