PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkesempatan mengadakan kunjungan singkat ke Wisma Seri Mutiara, bangunan asrama untuk pelajar Pulau Pinang yang menuntut di Universiti Al-Azhar Al-Sharif.
Dalam lawatan itu, Anwar menyantuni para pelajar dan menitipkan pesan agar mereka menuntut ilmu dengan baik serta menjaga nama Malaysia.
Anwar turut menyaksikan penyerahan dana peruntukan bernilai RM780,000 oleh Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) kepada Wakil Kedutaan Malaysia di Kaherah.
“Alhamdulillah, saya dapat menyantuni anak-anak yang belajar di sini dan menitipkan pesan kepada mereka agar dapat menuntut ilmu dengan baik dan menjaga nama Malaysia,” kata Anwar.
Menurut beliau, dana itu akan digunakan untuk proses penambahbaikan dan penyelenggaraan asrama lama Wisma Seri Pinang yang terletak bersebelahan bangunan baharu.
Lawatan ini mencerminkan komitmen kerajaan dalam memastikan kebajikan pelajar Malaysia di luar negara terjaga, serta usaha berterusan untuk memperkukuh hubungan pendidikan antara Malaysia dan institusi terkemuka seperti Universiti Al-Azhar.