CYBERJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri majlis berbuka puasa bersama syarikat korporat dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di Universiti Multimedia (MMU), di sini, semalam.
Dalam ucapannya, beliau menekankan pentingnya memperkukuh kebersaingan GLC dan peranan mereka sebagai ejen perubahan masyarakat.
“Ianya melalui pembangunan ekonomi yang seimbang dan manusiawi.
“Saya turut menyeru pimpinan korporat dan GLC untuk berganding bahu dalam inisiatif yang dianjurkan oleh kerajaan, terutama menambah jumlah kampung melalui program Kampung Angkat MADANI dan sekolah angkat di kawasan pedalaman,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Beliau berkata, inisiatif itu dapat menyediakan prasarana desa yang kondusif serta ekosistem pendidikan yang lebih selesa.
Majlis berbuka puasa itu dihadiri oleh pelbagai pimpinan korporat dan GLC yang menyambut baik hasrat dan iltizam Perdana Menteri itu.