IPOH: Ribuan pelajar Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Yuk Choy, Ipoh, menerima suntikan semangat daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Seminar SPM Cemerlang: Saya Pelajar MADANI Cemerlang, yang berlangsung penuh inspirasi dan keprihatinan terhadap masa depan generasi muda.
Dalam sesi dialog bersama para pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Perdana Menteri menekankan bahawa kecemerlangan akademik tidak boleh dipisahkan daripada ketinggian akhlak, moral dan etika hidup.
“Dalam sesi tersebut, saya tekankan bahawa kecemerlangan akademik mesti seiring dengan ketinggian akhlak, moral dan etika hidup.
“Pendidikan bukan sekadar untuk memperoleh ilmu dan meningkatkan martabat diri tetapi juga sebagai wadah membentuk insan yang berguna kepada masyarakat dan negara,” katanya.
Beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap laporan yang menunjukkan peningkatan masalah disiplin dan gejala sosial dalam kalangan pelajar yang dilihat sebagai ancaman kepada matlamat pendidikan holistik.
“Saya turut menzahirkan kebimbangan terhadap laporan mengenai masalah disiplin dan gejala sosial yang melibatkan pelajar.
“Institusi pendidikan seharusnya menjadi medan untuk membina manusia yang baik, bertanggungjawab dan berakhlak mulia, bukan sekadar melahirkan pelajar cemerlang dalam peperiksaan,” katanya.
Anwar turut menegaskan kepentingan membanteras budaya buli di sekolah yang kini menjadi isu serius sehingga kerajaan mengambil langkah menggubal undang-undang khusus bagi melindungi pelajar dan menjamin suasana pembelajaran yang selamat.
“Sebelum beredar, saya juga menegaskan kepentingan membanteras budaya buli di sekolah yang kini memerlukan perhatian serius sehingga kerajaan menggubal undang-undang anti-buli bagi melindungi pelajar serta memastikan persekitaran pembelajaran yang selamat dan berperikemanusiaan,” katanya.








