Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru kepada seluruh pekerja di Malaysia ini untuk kekal bersatu dan memecahkan tembok persengketaan antara satu sama lain.
Ini kerana Anwar berkata, negara masih lagi belum terlepas daripada perseteruan yang memupuk kebencian terhadap kaum, antara parti-parti yang lain, wilayah serta perbezaan pada warna kulit.
“Kita tidak fikir kamu dari mana, kamu Melayu ke, China ke, Kadazan ke, atau India, kita tidak fikir begitu, kita hanya fikir kesatuan pekerja, semangat bekerja, mengangkat martabat pekerja keseluruhannya.
“Kita kuat kerana kesatuan, kita kuat kerana semangat membawa perubahan, jangan izinkan (persengketaan) kerana negara di luar sana, orang berpecah kerana kaum, kerana fahaman agama yang fanatik, kebencian diantara satu sama yang lain dan keraja fahaman yang sempit serta menjadikan negara itu pecah dan rakyat miskin,” katanya.
Anwar menegaskan, negara ini mesti menjadi antara negara yang memecahkan tembok perseteruan itu kerana Malaysia antara negara yang bertuah, variasi dengan sejarah yang gilang-gemilang dan tiada negara seperti ini hanya Malaysia sahaja.
Beliau berkata demikian di dalam ucapan ‘Amanat Hari Pekerja’ di pada Sambutan Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan 2025 di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur hari ini.
Turut hadir di sambutan hari berkenaan adalah, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri Sumber Manusia, Steven Sum Chee Keong.
Pada masa sama, Anwar turut mengingatkan kepada para majikan di seluruh negara untuk tidak lagi melakukan penindasan ke atas pekerja dan memberikan gaji yang bermaruah.
“Seruan saya kepada pekerja, percayalah saudara tahu perkembangan negara ini mempunyai sejarah baik dan sejarah lemah, ada sejarah gemilang, ada sejarah rompakan. Kita pilih yang mana?
“Kita pilih gemilang, kita pilih hentikan amalan tindas pekerja, tamak haloba, naik gaji pekerja RM40 pun susah, ini apa jenis manusia (majikan),” katanya
Sebelum mengakhiri ucapan amanatnya, Perdana Menteri menasihatkan kepada seluruh pekerja di negara ini untuk menjalankan tugas kerja dengan ikhlas dan tekun walaupun negara masih menghadapi pelbagai masalah.
“Saya pun pekerja, saya ini bekerja, kita harus berbuat sesuatu.
“Percaya lah bila, kita harus bekerja dan saya harap, pekerja kita jalankan kerja dengan ikhlas dan tekun, walaupun kita catat kejayaan dan negara ini masih menghadapi banyak masalah,” katanya.
Untuk rekod, Sambutan Hari Pekerja merupakan majlis tahunan yang disambut setiap 1 Mei yang menghimpunkan wakil kesatuan, badan berkanun, sektor awam dan swasta sebagai menghargai sumbangan ke atas para pekerja dalam mendukung pembangunan negara selaras dengan agenda Malaysia Madani.
Dengan bertemakan ‘Pekerja Kesuma Bangsa, sambutan tahun ini menzahirkan pengiktirafan terhadap peranan penting pekerja sebagai tulang belakang negara.
Dalam pada itu, majlis turut diserikan dengan penyampaian Anugerah Hari Pekerja yang disampaikan oleh Perdana Menteri antara kategorinya ialah, Anugerah Tokoh Pekerja Negara (Eksekutif), Anugerah Tokoh Pekerja Negara (Swasta), Anugerah Tokoh Pekerja (OKU), Anugerah Majikan Terbaik Negara dan lain-lain lagi.
Difahamkan lebih 10,000 warga kerja dari sektor awam dan swasta dilihat memeriahkan sambutan Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan 2025 di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur hari ini.
Dalam pada itu, terdapat pameran kerjaya yang memaparkan lebih 50 pempamer oleh syarikat-syarikat kerajaan dan swasta yang memberi peluang pekerjaan terbuka buat rakyat Malaysia.
Baca juga: