PM Seru Sambut Syawal Dengan Sederhana, Hayati Makna Sebenar Kemenangan

KUCHING: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru rakyat agar menyambut kedatangan Hari Raya Aidilfitri dengan penuh kesederhanaan serta keseimbangan, sambil menghayati
makna sebenar hari kemenangan.

Beliau berkata, Syawal bukan sekadar perayaan selepas sebulan berpuasa, sebaliknya merupakan masa untuk memperkukuh nilai kesyukuran, kebersamaan serta keprihatinan terhadap sesama insan.

“Kehadiran Syawal seharusnya diraikan dengan penuh kesederhanaan dan keseimbangan dengan menghargai makna sebenar hari kemenangan yang menekankan kesyukuran, kebersamaan dan keprihatinan terhadap satu sama lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika singgah meninjau Absolut Bazaar X Festival Gaya Raya selepas selesai lawatan kerja di Kuching pada Jumaat.

Anwar turut berkesempatan menyantuni peniaga dan pengunjung yang membuat persiapan menjelang Aidilfitri.

Dalam lawatan ringkas itu, beliau turut bertanya khabar serta mendengar pandangan peniaga dan orang ramai mengenai harga barangan serta sambutan terhadap produk yang ditawarkan.

“Suasana meriah di festival berkenaan turut memperlihatkan kreativiti dan daya usaha usahawan tempatan yang menawarkan pelbagai produk termasuk pakaian, makanan, aksesori dan cenderamata” katanya.

Dalam masa sama, Anwar turut menegaskan bahawa inisiatif seperti festival berkenaan mampu menyokong pertumbuhan perusahaan kecil dan sederhana selain merancakkan ekonomi tempatan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat