PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini meluangkan masa singgah ke Sekolah Sultan Alam Shah bagi meninjau keadaan infrastruktur sekolah serta bertemu dengan pasukan Alam Shah Wind Orchestra (ASWO) yang bakal mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.
Seramai 46 pelajar Tingkatan 1 hingga 4 akan mewakili Malaysia dalam pertandingan berprestij World Music Contest 2026 di Kerkrade, Belanda pada 30 Julai depan.
Anwar berkata, keberanian anak-anak ini melangkah ke pentas dunia adalah bukti kekuatan negara yang tidak hanya diukur melalui pembangunan fizikal tetapi juga melalui pembinaan keyakinan, jati diri dan kematangan jiwa.
“Keupayaan anak-anak ini untuk melangkah berani membawa bakat ke pentas dunia adalah cerminan kekuatan negara kita.
“Ia tidak hanya terukur pada angka dan pembangunan fizikal tetapi juga pada keupayaan membina keyakinan, mendewasakan jiwa dan membentuk jati diri anak bangsa,” katanya.
Sebagai tanda sokongan, beliau menyalurkan sumbangan RM100,000 bagi membantu persediaan dan perjalanan pasukan itu ke Eropah.
“Semoga ikhtiar ini terus menyemarakkan semangat mereka untuk mencipta kejayaan di sana.
“Saya doakan selamat maju jaya buat anak-anak Alam Shah Wind Orchestra.
“Gegarkan pentas Eropah dengan alunan muzik berkelas dunia dan harumkan nama Malaysia dengan keindahan seni serta semangat yang tidak pernah luntur,” ujar Perdana Menteri.








