KUANTAN: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyumbangkan 128 ekor lembu korban sempena sambutan Aidiladha tahun ini yang akan diagihkan kepada institusi dan komuniti setempat di Indera Mahkota, Kuantan serta seluruh negeri Pahang.
Sumbangan itu disampaikan melalui Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Fauzi dalam Majlis Santai Minum Petang bersama warga Polis Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara di Kem Bukit Galing.
“Sebanyak 128 ekor lembu korban telah diperuntukkan hasil ihsan Perdana Menteri untuk manfaat rakyat termasuk institusi dan komuniti di sekitar Pahang.
“Sumbangan ini sebagai tanda keprihatinan dan semangat pengorbanan sejati demi rakyat,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Beliau turut berkata, Aidiladha bukan sekadar ibadah penyembelihan tetapi juga simbol keikhlasan dalam melaksanakan amanah serta mengutamakan kepentingan rakyat melebihi diri sendiri.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh Komander Briged Tenggara, SAC Datuk Nik Ros Azhan; ADUN Semambu, Chan Chun Kuang; ADUN Lantikan, Rizal Jamin; serta Penyelaras DUN Beserah, Datuk Indera Mustaffar Kamal.
Dalam hantaran sama, Ahmad Farhan mendoakan agar semangat pengorbanan Aidiladha kekal menjadi asas perjuangan dalam membina Malaysia MADANI yang berteraskan amanah dan ketulusan.








