PM Sumbang RM26,440 Bantu Bakat Bola Sepak Muda Kuantan

KUANTAN: Komitmen kerajaan dalam memupuk bakat belia terus dizahirkan apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyalurkan sumbangan sebanyak RM26,440 bagi menyokong usaha membina bakat belia bola sepak komuniti di Kuantan.

Sumbangan itu disampaikan oleh Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Fauzi dalam satu majlis di Padang Bola Indera Mahkota 1, yang turut dihadiri ibu bapa serta pemain pasukan Kuantan Soccer Kids.

“Mewakili Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, saya menyampaikan sumbangan sebanyak RM26,440 sebagai tanda dokongan terhadap usaha membina bakat belia melalui sukan bola sepak,” jelas beliau.

Ahmad Farhan turut menyuarakan rasa terharu melihat kesungguhan dan keceriaan para pemain muda yang disifatkan sebagai simbol harapan baharu bola sepak negara.

“Melihat wajah ceria dan semangat pemain-pemain muda ini cukup menyentuh hati kerana di sinilah lahirnya harapan dan dari padang inilah mungkin tercipta bintang masa depan negara,” tambahnya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada jurulatih, ibu bapa dan seluruh komuniti yang menjadi nadi kejayaan program pembangunan akar umbi ini.

“Syabas kepada jurulatih, ibu bapa, komuniti dan semua yang menjadi tulang belakang program pembangunan anak muda ini,” katanya.

Anda Mungkin Berminat