PETALING JAYA: Dalam usaha memperkukuh pembangunan sukan tempur negara, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyalurkan sumbangan sebanyak RM30,000 kepada kejohanan berprestij ‘International UXR Showdown Fight Fest 2025’ yang berlangsung di Kompleks Sukan Pahang (SUKPA), Kuantan pada Sabtu.
Sumbangan tersebut diumumkan menerusi satu hantaran di Facebook Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Farhan Fauzi, yang turut hadir menyaksikan kejohanan tersebut.
Menurut beliau, dana itu merupakan dorongan penting dalam melahirkan lebih ramai jaguh Muay Thai Malaysia yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa.
“Bagi pihak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, saya turut menyerahkan sumbangan RM30,000 sebagai dorongan agar kejohanan ini terus menjadi wasilah melahirkan lebih ramai jaguh Muay Thai yang mampu mengharumkan nama Malaysia di pentas dunia,” katanya.
Kejohanan yang berlangsung meriah itu turut diserikan dengan kehadiran peninju profesional Malaysia, Johan Ghazali atau lebih dikenali sebagai Jojo, yang menjadi tumpuan peminat sukan tempur tanah air.
Ribuan warga Indera Mahkota dan kawasan sekitarnya membanjiri SUKPA bagi menyaksikan pertarungan sengit antara jaguh Muay Thai dari Malaysia, Thailand, Lubnan, Kemboja dan China.
Farhan turut menggambarkan suasana kejohanan sebagai penuh bersemangat dan bertenaga dengan sorakan penonton bergema setiap kali loceng dibunyikan menandakan bermulanya aksi para petinju.
“Kejohanan yang menghimpunkan ribuan warga Indera Mahkota dan kawasan sekitarnya ini turut melibatkan penglibatan jaguh Muay Thai dari Thailand, Lubnan, Cambodia dan China,” katanya.
Beliau berkata, kejohanan seperti itu bukan sahaja memperkukuh semangat kesukanan tetapi juga menjadi wadah penting dalam membina jati diri anak muda.
“Semoga sukan seperti ini terus subur dan menjadi inspirasi kepada anak muda untuk membina disiplin, keyakinan diri dan semangat juang yang kental,” ujarnya.








