PM Sumbang RM5,000 Kepada CO-DIDIK, Perkukuh Kebajikan Warga Pendidik Pahang

KUANTAN: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan sokongan terhadap perjuangan warga pendidik di Pahang dengan menyumbang dana RM5,000 kepada Koperasi Pendidikan Melayu Pahang (CO-DIDIK) sempena Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-85 yang berlangsung di Dewan Atabara, Kuantan.

Sumbangan tersebut disampaikan oleh Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Fauzi, yang turut merasmikan mesyuarat agung berkenaan sebagai sebahagian daripada rencana beliau di Indera Mahkota.

“Meneruskan rencana di Indera Mahkota, saya berkesempatan merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Koperasi Pendidikan Melayu Pahang (CO-DIDIK) Kali Ke-85 di Dewan Atabara, Kuantan.

“Sebagai tanda sokongan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, atas peranan CO-DIDIK dalam memajukan sektor pendidikan dan kebajikan guru.

“Saya menyampaikan sumbangan tunai sebanyak RM5,000 bagi menggerakkan lagi aktiviti koperasi,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

CO-DIDIK yang ditubuhkan sejak tahun 1949 kini berusia 85 tahun dan terus menjadi tonggak penting dalam memperkukuh ekonomi serta kebajikan lebih 5,000 anggota aktif yang terdiri daripada warga pendidik di negeri Pahang.

“Usia 85 tahun ini bukti keteguhan perjuangan yang bermula sejak 1949, kini memayungi lebih 5,000 anggota aktif yang terus memperkukuh ekonomi dan kebajikan warga pendidik di Pahang,” ujar Farhan.

Beliau turut menyatakan harapan agar CO-DIDIK terus menjadi sumber inspirasi kepada para guru dalam mendidik dengan lebih tenang dan berkesan demi melahirkan generasi masa depan yang berilmu dan berakhlak.

Anda Mungkin Berminat