JOHOR BAHRU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyuntik semangat kepada skuad Harimau Malaya yang sedang menjalani latihan di sini, menjelang aksi getir menentang Vietnam, 10 Jun ini.
Menerusi perkongsian di Facebook, Anwar sempat meluangkan masa bertemu barisan pemain selepas menghadiri Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang berakhir petang semalam.
“Saya titipkan kata-kata semangat kepada mereka yang bakal menghadapi perlawanan penting dalam pusingan kelayakan akhir Piala Asia 2027 menentang Vietnam, bulan depan.
“Seluruh rakyat Malaysia akan berdiri teguh di belakang kalian, memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi,” tulis Anwar di Facebook.
Aksi berdepan Vietnam di Stadium Nasional, Bukit Jalil adalah perlawanan kedua Harimau Malaya dalam Kumpulan F kelayakan Piala Asia 2027 selepas menundukkan Nepal 2-0 di Stadium Sultan Ibrahim, 25 Mac lalu.
Sebelum menentang Vietnam, Cklamovski terlebih dahulu akan menguji skuadnya pada perlawanan persahabatan antarabangsa berdepan pasukan ranking ke-72 dunia, Cape Verde di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, 29 Mei ini.