PM tak pernah berhenti baiki kewangan negara demi kesejahteraan rakyat

Oleh: Tyah Helmi

PETALING JAYA: Sejak menggalas tatakelola negara, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak pernah alpa dan berhenti dalam memperbaiki kewangan negara demi kesejahteraan rakyat Malaysia.

Setiausaha Akhbar Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata, kerajaan Madani hanya mewarisi kerosakan besar yang dilakukan oleh pentadbiran terdahulu

“Pendedahan terbaharu oleh wartawan antarabangsa, Bradley Hope dan Tom Wright bahawa Malaysia mengalami kerugian sebanyak USD18 bilion akibat skandal 1MDB menjadi cerminan jelas kepada kerosakan besar yang diwarisi oleh Kerajaan Madani daripada pentadbiran terdahulu.

“Sejak hari pertama menerajui tampuk pemerintahan negara pada penghujung tahun 2022, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak pernah berhenti berusaha membaik pulih keadaan kewangan negara demi kesejahteraan rakyat,” ujarnya menerusi sidang media Pejabat Perdana Menteri (PMO) hari ini.

Menurut Nashrul, ketika mana kedudukan kewangan negara mula beransur pulih, sedikit demi sedikit bantuan boleh disalurkan demi meringankan beban rakyat.

“Apabila kedudukan kewangan negara beransur pulih, barulah sedikit demi sedikit bantuan dapat disalurkan untuk meringankan beban rakyat, apatah lagi dalam suasana ekonomi global yang tidak menentu,” ujarnya.

Kata beliau, Perdana Menteri turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia di atas sokongan serta kesabaran dalam tempoh negara sedang dipulihkan daripada kemelut warisan lalu.

“Walaupun segelintir pihak termasuk pembangkang menghina, mencerca dan memperlekehkan usaha kerajaan hampir setiap hari menggunakan media sosial, Perdana Menteri tetap teguh dengan pendirian, tanpa sedikit pun berkecil hati,” jelasnya.

Tambah beliau, Anwar juga mengambil kesempatan untuk mengulangi permohonan maaf atas kelewatan menunaikan sebahagian janji sebelum beliau menjadi Perdana Menteri.

Dalam pada itu, Perdana Menteri dalam kenyataan berbeza turut mengulas kritikan blok pembangkang berhubung penurunan harga RON95 dan pemberian bantuan tunai RM100 secara one-off kepada semua orang dewasa di Malaysia.

“Datuk Seri Muhammad Sanusi dan segelintir pembangkang boleh terus memperlekeh usaha ini, namun realitinya, penjimatan harga minyak dan bantuan tunai sedikit sebanyak membantu meringankan beban rakyat.

“Buat pertama kalinya, semua rakyat tanpa mengira latar sosial menerima sesuatu daripada kerajaan sempena sambutan bulan kemerdekaan,” katanya.

Anwar dengan tenangnya turut menjelaskan semula kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor akan maksud sebenar bantuan yang diumumkan kelmarin dan bukannya belanjawan sepertimana yang dikritik oleh sisi pembangkang baru-baru ini.

“Perlu difahami bahawa kesemua inisiatif yang diumumkan semalam bukanlah sebahagian daripada Belanjawan 2026.

“Belanjawan 2026 hanya akan diguna pakai pada tahun 2026. Maka, pelaksanaan penghargaan kepada rakyat seperti SARA dan bantuan lain akan bermula pada tahun ini, termasuk pada 31 Ogos 2025.”

Sehubungan itu, Perdana Menteri memaklumkan pihaknya menerusi Kerajaan Madani akan terus komited membaiki ekonomi negara demi memastikan kesejahteraan rakyat, meskipun berdepan pelbagai tekanan dan cercaan politik sepanjang pentadbirannya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat