PM tegas kesilapan Jalur Gemilang perlu lalui proses undang-undang

BANGKOK: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kesilapan dalam memaparkan Jalur Gemilang bukan perkara remeh kerana bendera merupakan simbol penting sesebuah negara.

Beliau merujuk kepada insiden akhbar berbahasa Cina, Sin Chew Daily, yang menyiarkan ilustrasi Jalur Gemilang tanpa bulan sabit pada muka hadapannya, Selasa lalu.

“Bagi mana-mana negara, bendera adalah lambang yang amat penting. Saya nasihatkan agar semua pihak lebih berhati-hati. Namun, kita perlu beri ruang kepada Sin Chew Daily untuk membuat penjelasan dan memohon maaf.

“Tetapi ini bukan soal ringan. Biarlah proses undang-undang berjalan,” katanya dipetik dalam sidang media selepas menamatkan lawatan kerja ke Thailand atas jemputan Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra.

Anwar turut mengingatkan agar isu ini tidak diperbesarkan secara berlebihan.

“Jangan sampai kita dilihat keterlaluan hanya kerana ada tuntutan. Segalanya perlu ikut proses undang-undang,” ujarnya.

Sebelum ini, Sin Chew Daily menjelaskan bahawa ketiadaan bulan sabit dalam ilustrasi tersebut berpunca daripada kesilapan teknikal yang tidak disengajakan. Akhbar itu juga telah memohon maaf secara terbuka.

Susulan itu, dua pengarang kanan akhbar berkenaan iaitu Ketua Pengarang, Chan Aun Kuang dan Timbalan Ketua Penyunting, Tsai Shwu San digantung tugas serta-merta.

Anda Mungkin Berminat