KOTA KINABALU: Siasatan berhubung kematian tragis pelajar Zara Qairina Mahathir, 13, mesti dijalankan secara telus, adil dan berlandaskan undang-undang, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Ada satu kematian baru-baru ini. Menteri Pendidikan pula diserang dan dituduh pelbagai perkara. Ini bukan soal kecil. Negara kita ada undang-undang,” katanya.
Beliau berkata, Malaysia adalah sebuah negara hukum, bukan medan untuk menyebar fitnah dan tuduhan melulu.
Anwar memaklumkan bahawa beliau telah mengarahkan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Ismail serta Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail untuk mempercepatkan siasatan.
“Lebih 60 individu telah dirakam keterangan. Kertas siasatan juga telah dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutup Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2025 di Sabah International Convention Centre, hari ini.
Tambah beliau, perkembangan terkini turut dimaklumkan oleh Peguam Negara.
“Saya tak campur urusan pendakwaan tetapi saya tanya kerana rakyat mahu tahu,” ujarnya.
Dalam masa sama, Perdana Menteri mengingatkan orang ramai agar tidak membuat tuduhan tanpa asas.
“Undang-undang akan tetap ditegakkan tanpa mengira kedudukan atau pangkat sesiapa,” tegasnya.
Terdahulu, Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya di Papar, Sabah, pada awal pagi 16 Julai lalu dan disahkan meninggal dunia keesokan harinya di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu.
Kes ini mencetuskan pelbagai reaksi di media sosial termasuk penggunaan tanda pagar #Justice4Zara sebagai tuntutan keadilan buat mangsa.