PM Tegaskan Audit Dalaman Benteng Integriti

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan audit dalaman adalah benteng utama dalam memastikan integriti perkhidmatan awam serta asas kepada tatakelola yang baik.

Beliau berkata tanpa pemantauan yang telus dan bebas, negara berisiko terus dibelenggu isu ketirisan, penyalahgunaan kuasa dan rasuah.

“Tatakelola yang baik bukan beban, tetapi asas kepercayaan rakyat dan pelaburan jangka panjang kepada kestabilan negara. Audit dalaman benteng utama dalam menunaikan amanah dengan integriti,” katanya ketika berucap pada pelancaran Persidangan Konfederasi Asia Institut Juruaudit Dalaman (ACIIA) 2025 pada Selasa.

Anwar turut mengingatkan bahawa sejarah telah memberi pengajaran besar, termasuk skandal 1MDB dan krisis kewangan Asia, mengenai keperluan memberi ruang kepada juruaudit dalaman untuk bertugas tanpa gangguan.

Menurut beliau, kerajaan komited memperkukuh institusi audit. Antara langkah diambil ialah pindaan pertama Akta Audit dalam tempoh 33 tahun serta penubuhan Jawatankuasa Ketidakaturan Serius bagi menangani pelanggaran tatakelola secara tuntas.

Beliau menegaskan audit dalaman bukan sekadar proses rutin, sebaliknya tunjang kepada sistem yang telus dan berakauntabiliti.

Anwar berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Konfederasi Asia Institut Juruaudit Dalaman (ACIIA) 2025, yang dianggotai lebih 15 institut juruaudit dalaman di rantau ini.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat