PM tegur insiden warga emas tampar pemuda bukan Islam

Oleh: Tyah Helmi

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyelar insiden seorang pemuda bukan Islam yang tular ditampar kerana makan di khalayak ramai baru-baru ini.

Menerusi taklimat harian di pejabatnya hari ini, Anwar menegaskan tindakan sebegitu perlulah dihentikan semata-mata kerana ia amat bertentangan dengan semangat perpaduan dan keharmonian di negara ini.

“Apa gunanya kita bicara soal Islam serta keindahannya, terutama di bulan Ramadan, sekiranya ia tidak membina kekuatan dalaman dan menjauhkan kita dari sikap yang bengis dan mengancam keamanan dan kerukunan,” katanya.

Dengan itu, beliau percaya isu yang menyentuh senstiviti agama, kaum dan bangsa tersebut boleh dielakkan jika semua pihak patuh dan komited mengamalkan prinsip hormat menghormati antara satu sama lain bagi membina sebuah negara yang bertamadun.

Dalam perkembangan sama, Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini melepas tanpa membebaskan (DNAA) seorang warga emas yang didakwa menampar seorang pemuda bukan Muslim yang dikatakan tidak berpuasa pada Ahad lalu.

Keputusan tersebut dibuat oleh Majistret, A Shaarmini selepas Timbalan Pendakwa Raya, Nur Fatihah Mohd Nizam memaklumkan pihaknya mendapat arahan untuk merujuk semula kertas siasatan kes berkenaan ke Jabatan Peguam Negara (AGC) di Putrajaya.

Sebelum ini, hangat di media sosial apabila tular sebuah rakaman video yang memaparkan seorang pemuda bukan Islam yang ditegur warga emas lelaki yang kerana didakwa makan secara terbuka pada bulan Ramadan di sebuah beli-belah.

Semasa kejadian berlaku siri ketegangan apabila warga emas berkenaan dilihat meminta pemuda itu untuk menunjukkan kad pengenalan bagi membuktikan dia bukan beragama Islam.

Pemuda yang enggan menunjukkan kad pengenalannya kemudian mendakwa dia telah dimarahi oleh warga emas terbabit dan menamparnya beberapa kali di mukanya.

Anda Mungkin Berminat