KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegur keras pihak yang terus-menerus melemparkan tohmahan negatif terhadap kerajaan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), dengan menyifatkan mereka sebagai golongan yang sengaja mahu mencemarkan imej perkhidmatan awam.
Menurut beliau, walaupun pelbagai usaha dilakukan oleh kerajaan, termasuk kejayaan menganjurkan Sidang Kemuncak ASEAN dan peningkatan pelaburan, masih wujud pihak yang menafikan pencapaian negara serta memperlekeh kecekapan pasukan keselamatan.
“Kerajaan Madani sedang berusaha menangani isu kos sara hidup, perumahan, kesihatan dan pendidikan. Tapi masih ada yang mendakwa seolah-olah kami tidak bekerja langsung, malah turut menyerang profesionalisme PDRM,” katanya.
Anwar menegaskan, jika wujud satu atau dua kes yang melibatkan kelemahan, ia tidak sewajarnya dijadikan alasan untuk menidakkan seluruh usaha ribuan anggota polis yang berkhidmat dengan amanah.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan Ke-90 Koperasi Polis Diraja Malaysia Berhad di ibu negara, pada Jumaat. Turut hadir, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.
Perdana Menteri turut memuji PDRM atas kejayaan mengurus keselamatan Sidang Kemuncak ASEAN yang lalu, sambil mendedahkan ia turut mendapat pengiktirafan antarabangsa.
“Tuanku Sultan Brunei beritahu saya, ini antara penganjuran terbaik dalam sejarah penyertaan Baginda dalam sidang ASEAN, manakala pihak keselamatan China kagum dengan tahap kecekapan pasukan kita,” katanya.
Baca juga: