MIRI: Seluruh jentera kerajaan di peringkat persekutuan dan negeri perlu menyokong visi Kerajaan Negeri masing-masing dengan memastikan ia dilaksanakan lebih pantas dan segera.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membandingkan contoh pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo yang cemerlang di Sarawak yang mencapai kemajuan lebih 90 peratus, bagaimanapun hanya sekitar 50 peratus di Sabah akibat permasalahan kontraktor serta campur tangan politik berlebihan.
“Kerana itu saya berulang kali tekankan kepentingan melaksanakan projek dan inisiatif rakyat yang mendesak secepat mungkin. Alhamdulillah perubahan ini mula memberi kesan positif kepada imej negara di mata dunia.
“Usaha Malaysia untuk menjadi lebih kompetitif, bingkas dan dinamik, di samping pendirian Malaysia yang bebas dan merdeka, mula menarik minat pelabur sama ada dari Amerika Syarikat, Eropah, Jepun, Korea, China mahupun Rusia.
“Justeru kita harus berfikir dan memilih, sama ada mahu kekal lembap dan mundur, bergaduh soal titik bengik dan perbezaan warna kulit, atau memacu momentum yang telah kita bina ini ke peringkat lebih tinggi,” kongsinya di Facebook hari ini.
Anwar turut memberikan contoh pengurusan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang cuai dalam memastikan perancangan jangka panjang yang berkesan, hingga mengakibatkan khidmat aerotrain terpaksa digantung buat sementara waktu.
“Tekad Kerajaan MADANI jelas, yakni mahu membetulkan kebobrokan lalu, menghentikan amalan rasuah dan penyelewangan, memperbaiki tatakelola, merangka dasar yang jelas dan menggembleng seluruh kekuatan untuk mengangkat semula darjat, martabat dan harkat rakyat dan negara ke tingkat tertinggi,”
Dalam kenyataan sama, Anwar turut memuji prestasi ekonomi negeri itu yang terus cemerlang dan berperanan besar dalam menyumbang kepada ekonomi Malaysia.








