PM tekankan pembangunan Sabah demi kesejahteraan rakyat

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru agar usaha pembangunan di Sabah diberi keutamaan dengan fokus kepada bekalan elektrik, pembinaan taman perindustrian, perumahan rakyat dan pembaikan jalan raya.

Katanya, langkah itu bertujuan memastikan kemudahan asas dan pembangunan ekonomi terus dipacu demi kesejahteraan rakyat negeri itu.

“Mesyuarat di Pejabat Daerah Tuaran, menekankan pentingnya prestasi pelaksanaan projek Rancangan Malaysia di Sabah, termasuk menangani projek sakit, merancang keutamaan negeri bagi tahun 2026, serta mengurangkan kemiskinan tegar.

“Turut membincangkan inisiatif program Sabah Maju Jaya (SMJ), status Projek SejaTi Madani, Projek Kampung Angkat Madani dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) selain permohonan tambahan untuk pembaikan jalan raya,” katanya menerusi hantaran di Facebook miliknya.

Anwar juga menghadiri Majlis Berbuka Puasa Madani Peringkat Sabah di Padang Istiadat, di mana beliau mengucapkan penghargaan kepada Ketua Menteri, Hajiji Noor serta seluruh jentera pentadbiran negeri atas komitmen tinggi mereka dalam memastikan kestabilan politik yang kukuh.

Kerjasama erat itu, menurut beliau, adalah kunci kepada kejayaan pembangunan ekonomi dan menarik lebih banyak pelaburan ke Sabah.

Anda Mungkin Berminat