PM Tekankan Pemerkasaan Syarikat Tempatan di LIMA 2025

PETALING JAYA: Perdana Menteri mengarahkan supaya Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA ’25) dijadualkan berlangsung dari 20 hingga 24 Mei ini memberi penekanan kepada pemerkasaan syarikat tempatan.

Setiausaha Akhbar Kanan beliau, Tunku Nashrul Tunku Abaidah berkata, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi penekanan khususnya kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) agar dapat menembusi pasaran antarabangsa melalui inovasi.

“LIMA juga akan memangkin pertumbuhan ekonomi dengan menarik pelaburan langsung asing dan merancakkan pelancongan serta
perdagangan luar negara,” katanya dalam Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri (PMO) di Facebook pada Isnin.

Dalam pada itu, Anwar juga katanya menekankan bahawa LIMA 2025 bukan sekadar pameran aset dan teknologi, tetapi medan strategik untuk membina kerjasama antara kerajaan, industri dan institusi pendidikan, dengan menghimpunkan pemain utama dalam sektor pertahanan dan
penerbangan komersial, termasuk dalam bidang MRO, IoT, satelit dan
teknologi angkasa.

“Penganjuran ini mencerminkan komitmen Malaysia untuk terus memperkukuh kedudukan negara sebagai hab teknologi maritim dan aeroangkasa di peringkat serantau dan global,” tambahnya.

Anwar dijadualkan menghadiri LIMA 2025 yang bertemakan “Innovate Today, Throve Tomorrow” selepas selepas lawatan rasmi ke Rusia pada 13 hingga 16 Mei.

“Perdana Menteri mendoakan agar semua urusan persediaan berjalan lancar dan mengalu-alukan kehadiran pempamer, pelabur dan pelawat dari dalam dan luar negara untuk menjayakan LIMA 2025
sebagai antara edisi yang bermakna dalam sejarah penganjurannya,” kata Tengku Nashrul.

Anda Mungkin Berminat