PM Tekun Siapkan Ucapan Sidang BRICS Ketika Dalam Penerbangan dari Paris ke Rio

RIO DE JANEIRO: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi membuktikan komitmen luar biasanya terhadap negara apabila beliau dilihat masih tekun meneliti nota dan membuat persiapan untuk ucapan penting di Sidang Kemuncak BRICS ketika berada dalam pesawat yang sedang terbang dari Paris, Perancis ke Rio de Janeiro, Brazil.

Perkara itu dikongsikan oleh Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Fauzi, yang turut serta dalam delegasi rasmi Malaysia ke sidang tersebut.

Menurut beliau, ketika para pegawai lain mengambil masa untuk berehat akibat keletihan perjalanan, Perdana Menteri tetap fokus menelaah kandungan ucapan demi memastikan penyertaan Malaysia di pentas antarabangsa membawa impak yang bermakna.

“Ini bukan rutin biasa beliau. Ia adalah cerminan usaha dan kesungguhan beliau untuk memastikan Malaysia bersedia di semua pentas dunia, termasuk BRICS,” kata Farhan dalam satu kenyataan menerusi media sosial.

Sidang Kemuncak BRICS kali ini menghimpunkan pemimpin-pemimpin negara dari Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan serta beberapa negara jemputan seperti Malaysia.

Kehadiran Malaysia dalam sidang ini mencerminkan peranan strategik negara dalam diplomasi global serta keupayaannya menyumbang kepada wacana pembangunan dan kerjasama Selatan-Selatan.

Sepanjang menjawat jawatan Perdana Menteri sejak November 2022, Anwar telah menjadikan hubungan luar negara dan diplomasi pelaburan sebagai salah satu keutamaan.

Lawatan beliau ke Eropah sebelum ini termasuk pertemuan dua hala dengan Presiden Perancis, Emmanuel Macron dan pemimpin Itali telah menghasilkan komitmen strategik dalam sektor mikroelektronik, teknologi lestari dan pelaburan langsung asing (FDI).

“Tidak ada ruang untuk bersantai dan memang itulah rentak kerja beliau.

“Mengikut rentak beliau bukan untuk yang lemah semangat,” ujar Farhan lagi.

Kenyataan ini turut menjawab kritikan segelintir pihak yang mempersoalkan keberkesanan lawatan antarabangsa Perdana Menteri.

Hakikatnya, Anwar giat memanfaatkan setiap ruang diplomatik untuk memperkukuh kedudukan Malaysia dalam ekonomi global serta membawa suara negara membangun ke peringkat antarabangsa termasuk berkaitan reformasi sistem kewangan dunia yang lebih adil dan inklusif.

Ahmad Farhan turut menyeru rakyat Malaysia untuk mendoakan agar Perdana Menteri sentiasa dikurniakan kesihatan dan kekuatan bagi meneruskan amanah berat dalam membina masa depan negara.

“Malaysia mesti bergerak ke hadapan dan berpaut pada asas yang kukuh agar kita terus teguh dan tidak ditinggalkan,” katanya.

Sidang BRICS kali ini dijangka membuka ruang penting untuk Malaysia menyuarakan pandangannya dalam pelbagai isu strategik global termasuk ekonomi, teknologi, keamanan serantau dan kemampanan.

Anda Mungkin Berminat