PETALING JAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, menerima jemputan rasmi daripada Presiden Iran, Masoud Pezeshkian, untuk mengadakan lawatan ke Tehran dalam masa terdekat bagi memperkukuh hubungan dua hala Malaysia-Iran.
Perkara itu dimaklumkan Anwar menerusi satu hantaran di Facebook rasmi beliau hari ini selepas menerima panggilan telefon daripada pemimpin tertinggi Iran itu.
“Saya sampaikan penghargaan atas kesediaan beliau untuk terus mempererat hubungan antara kedua-dua negara,” katanya.
Menurut Anwar, kedua-dua pihak turut menyatakan komitmen untuk memperkukuh kerjasama dalam bidang yang memberi manfaat kepada rakyat masing-masing.
Dalam perbualan itu, Presiden Pezeshkian turut menzahirkan penghargaan terhadap pendirian tegas Malaysia dalam membela nasib rakyat Palestin dan menggesa agar Malaysia terus mendepani usaha diplomatik menentang kekejaman di Gaza.
Anwar menegaskan komitmen Malaysia bukan sahaja melalui kenyataan lantang di pentas antarabangsa, malah turut menggembleng kerjasama dengan pemimpin serantau dan global seperti dari Indonesia, Turkiye, Brazil dan Afrika Selatan.
“Dunia tidak boleh terus berdiam diri tatkala kekejaman ini telah melampaui batas kemanusiaan,” katanya.
Baca juga