PETALING JAYA: Satu kunjungan hormat daripada Presiden Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (PERDASAMA) Nasional, Mohd Azamanizam Baharon bersama delegasi telah menemui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam pertemuan itu, Anwar menzahirkan penghargaan terhadap peranan PERDASAMA yang mewakili lebih 27,000 syarikat Bumiputera di seluruh negara, sebagai pemacu penting dalam memperkukuh jaringan dan kepakaran usahawan Melayu.
“PERDASAMA telah memainkan peranan penting dalam menggembleng tenaga, kepakaran dan jaringan dalam kalangan ahlinya,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Beliau berkata, agenda pembangunan Bumiputera adalah satu ketetapan kerajaan yang perlu difahami dan dihayati oleh semua pihak termasuk PERDASAMA sendiri.
Menurut Anwar, kerajaan amat menitikberatkan keperluan koordinasi yang lebih mantap antara pelaksana inisiatif pembangunan usahawan Bumiputera agar segala usaha yang dijalankan dapat diselaraskan secara berfokus dan saling melengkapi.
“Kerajaan menyambut baik cadangan inisiatif yang diutarakan PERDASAMA.
“Saya yakin kerjasama strategik ini akan memberikan impak yang lebih besar dalam memperkukuh ekosistem perniagaan Bumiputera serta memperluas peluang ekonomi negara,” ujarnya.








